You are currently browsing the monthly archive for November 2008.
Dr Hassan ‘panas’, gugur 2 pemimpin
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali didakwa menggugurkan dua pemimpin kanan parti itu kerana “kepanasan” dengan kritikan yang diterimanya berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilucutkan jawatan sebagai timbalah pesuruhjaya II PAS negeri itu digantikan ahli parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Jumaat lepas. Sementara ketua penerangan diserahkan kepada setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Sharir bagi menggantikan wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib.
Keputusan mendadak itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Harian parti itu yang diumumkan dan diluluskan dalam mesyuarat badan perhubungan PAS negeri itu pada hari yang sama. Sumber-sumber dalaman PAS Selangor memberitahu Malaysiakini, pengguguran itu dicadangkan sendiri oleh Dr Hassan menggunakan kuasanya sebagai pemimpin nombor satu dengan mendominasi kedua-dua mesyuarat itu.
Menurut sumber lagi, keputusan pengguguran Khalid dan Saari itu tidak dipersetujui di kalangan ahli mesyuarat yang terdiri daripada yang dipertua PAS kawasan.
Ramai di antara mereka dikatakan berdiam diri kerana tidak berpeluang mengeluarkan pandangan.
“Tidak ada kebebasan bersuara dalam mesyuarat. (Agenda) tidak bincang isu betul-betul dan selalu disapu di bawah permaidani,” kata sumber.
Kedua-dua tokoh gerakan Islam itu dikatakan sering bersuara lantang menyebabkan Dr Hassan jadi sensitif, terutamanya dalam isu pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan peruntukan RM10 juta kepada rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.
Malaysiakini difahamkan kedua-dua tokoh yang digugurkan itu berpandangan, isu-isu berunsur perkauman melibatkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam kerajaan Selangor tidak harus menjadi keutamaan PAS di negeri itu.”Isu-isu Melayu ini kita sudah tidak mahu layan,” kata sumber.
Bagaimanapun, pandangan Khalid dan Saari ini dikatakan bertentangan dengan pendekatan Dr Hassan yang didakwa tidak mengendahkan teguran-teguran yang dibuat terhadapnya.Dr Hassan sebelum ini dilaporkan menolak pelantikan Low atas alasan beliau bukan Melayu dan beliau mahu segera menggantikan pemimpin korporat itu dengan seorang calon Melayu.
Tindakan Dr Hassan itu mengundang kontroversi dan reaksi pelbagai pihak.Isu-isu sebegitu, kata sumber, tidak selari dengan slogan “PAS Untuk Semua” yang dilaungkan parti itu.Penyingkiran kedua-dua tokoh itu juga dikatakan kesan daripada tindakan mereka yang mahukan PAS “kembali kepada asal” dengan memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Pakatan.
Dihubungi selepas sidang parlimen hari ini, Khalid (foto atas, kiri) mengakui rombakan PAS negeri terpaksa dibuat kerana perbezaan pendapat, kaedah dan cara beliau menyebabkan Dr Hassan tidak dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.Beliau bagaimanapun enggan memperincikan perbezaan-perbezaan itu seperti disebut oleh sumber-sumber.
Perbezaan itu, katanya, bermula sejak pilihanraya umum Mac lagi apabila PAS bersama PKR dan DAP kali pertama berjaya menawan Selangor.
Khalid menambah, pelantikan Roslan dan Dr Che Rosli yang “lebih serasi” dengan Dr Hassan bertujuan membolehkan pesuruhjaya itu menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan.
Tambahnya, atas kapasitinya sebagai yang dipertua PAS Shah Alam, beliau akan terus menegur kepemimpinan negeri jika wujud kesalahan walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai timbalan pesuruhjaya II.
Menurutnya lagi, Saari sebagai wakil rakyat PAS masih boleh menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri, cuma tidak boleh terlibat membuat keputusan atau mengundi.Badan itu mempunyai 63 ahli (termasuk enam anggota dilantik), melibatkan pemimpin tertinggi di peringkat negeri, wakil Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, dan ketua serta setiausaha PAS kawasan-kawasan.
Khalid yang hadir pada mesyuarat Dewan Harian dan badan perhubungan minggu lalu tidak menentang keputusan Dr Hassan yang, menurut ahli parlimen itu, mendapat sokongan majoriti badan perhubungan PAS negeri.
Saari (foto kiri) ketika dihubungi enggan mengulas pengguguran beliau daripada badan perhubungan negeri.
Sementara itu, Roslan yang juga yang dipertua PAS Kelana Jaya mengakui idea merombak organisasi parti itu disarankan oleh Dr Hassan sendiri bertujuan untuk menguatkan organisasi parti.
Beliau berkata, hanya jawatan dalam organisasi PAS negeri sahaja digugurkan bertujuan meringankan beban kedua-dua wakil rakyat itu.
Jawatan-jawatan lain yang dipegang, diteruskan seperti biasa.Menurut Rolsan lagi, rombakan minggu lepas itu merupakan “perkara biasa” dan diamalkan di pelbagai negeri.”Pahang dan Melaka juga membuat rombakan tetapi tidak tidak dibicarakan,” katanya kepada Malaysiakini.
Rombakan itu, tambahnya, hanya mencetuskan spekulasi kerana Selangor merupakan negeri bawah pemerintahan Pakatan yang melibatkan PAS sebagai rakan gabungan.
Mengulas pelantikan beliau dan Dr Che Rosli, Roslan berkata, kedua-dua mereka bukanlah orang baru.
Beliau sebaliknya pernah memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangir sebelum ini, berpengalaman dan mempunyai hubungan baik mempromosikan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di negeri itu sewaktu pilihanraya umum Mac lalu.
“Dr Che Rosli pula merupakan bekas (seorang) timbalan pesuruhjaya PAS Perlis,” katanya.
Dr Hassan gagal dihubungi untuk mengulas dakwaan ini, beliau kini dilaporkan berada di luar negara.
Beliau semalam dilaporkan berkata, PAS Selangor memerlukan rombakan kecil selepas melihat perlunya ada usaha memberi peluang kepada barisan kepimpinan baru.
Rombakan itu, tambahnya lagi, mengambil kira komitmen dan penglibatan sepenuh masa dalam organisasi itu.
Beliau mendakwa Khalid dan Saari berperanan besar sebagai wakil rakyat di tempat masing-masing.
Selain pemimpin kawasan Shah Alam, Khalid juga ahli lajnah politik PAS pusat.
Sumber Malaysiakini.
Pandangan penulis, bukan senang duduk diatas, dulu semasa belum memerintah macam-macam cemuhan yg dilempar terhadap kerajaan, ha! sekarang apamacam PANAS ke??
Blog asal : Hang Tuah ( klik sini )
Berita tentang kehadiran pengundi muda jangkaan SPR pada PRU akan datang menakutkan kita.
Selepas kalah kerana undi swing dari saluran 3 dan 4 yang terjadi hasil ‘kekuraan’ sesetengah orang kita mengadaptasi kecanggihan moden untuk kempen telah disedari ramai.
hasilnya blog diiktiraf medium baru untuk kempen jentera parti.
Selepas tu semakin banyak blog dihasilkan tetapi bukankah pertambahan pengundi menuntut kita membanyakkannya lagi khususnya menumpukan kepada berita di tempat masing masing !
Contoh satu cawangan menubuhkan unit gempur siber khusus untuk menjawab serangan liar pembangkang berkenaan isu di tempat mereka atau nasional amnya.
Dengan itu pihak cawangan rasanya tentu tidak keberatan membayar serendah RM 44 untuk 60 jam sebulan bil internet stramyx yang sesuai dengan anggaran 2 jam sehari kegunaan update blog. Atau RM 20 untuk kadar penggunaan 10 jam pun boleh jika ‘kering sangat’ dana cawangan tersebut.
Pakej Penuh sila lihat sini :
Namun
Atau dibuat pakej khas untuk semua cawangan UMNO seluruh negara bagi tujuan itu dan tentu akan menguntungkan bukan sahaja UMNO tetapi juga TM NET selaku internet’s provider..
Jadi, kita tidak perlu menunggu sehingga pembubaran parlimen untuk itu.
Kerana kejayaan pembangkang menjadikan blog sebagai saluran kempen termasuk yahoogroups dan lain lain bermula 10 tahun yang lalu.
Ketika mana laman Mahazalim dan Mahafiraun popular ketika itu dan dikendalikan dari luar negara oleh Raja Goblog ( gelaran saya ) iaitu Raja Pet yang baru bebas dari ISA.
jadi, inisiatif ini perlu dipercepatkan kerana gerakan pembangkang akan semakin jauh meninggalkan kita jika kita masih rasa ingin mencari jawatan yang akhirnya tidak mustahil jawatan itu sahaja kekal dan kuasa terlepas ke tangan mereka.
Kempen Satu Cawangan Satu Blog perlu dilancarkan segera, jika kita rasa ingin menarik pengundi baru yang akan jadi undi penentu kejatuhan atau kekalnya ketuanan Melayu sebagai teras pemerintahan negara kita.
Bayangkan ribuan cawangan UMNO seMalaysia dapat menghasilkan blog sendiri tentu serangan agresif pembangkang akan dapat dipatahkan dengan mudah. Ia juga dapat menaikkan lagi kesedaran IT yang mana perlu ditekankan agar selari dengan pencapaian kaum lain yang menjadikan IT satu cara menimba ilmu dan mengembangkan perniagaan.
Kolum Bisik-Bisik Awang Selamat Utusan Malaysia semalam membangkitkan persoalan tentang makna peralihan kuasa pergerakan itu jika Shahrizat yang akan mengambil alih kepimpinan pada Jun terpaksa memangku sehingga tamat penggal.
Persoalan juga timbul bagaimana beliau yang berstatus memangku dapat memainkan peranan berkesan sebagai Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional sedangkan ketua wanita parti komponen lain berjawatan ketua.
Selain itu akar umbi juga mahukan peralihan dipercepatkan berdasarkan pencalonan tinggi yang diterima Shahrizat setakat ini.
Sebagaimana laporan Utusan Malaysia di bawah….
KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kepimpinan Wanita UMNO digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk mengekalkan pelan peralihan jawatan antara Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dipersetujui pada Jun 2009.
Ia berikutan keputusan mesyuarat Exco pergerakan itu hari ini yang memutuskan pelan peralihan jawatan itu kekal pada tarikh tersebut dan jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO tidak akan dipertandingkan.
Rata-rata peringkat akar umbi pergerakan itu mahu tarikh pemilihan jawatan tertinggi Wanita UMNO diselaraskan dengan tarikh pemilihan parti yang akan diadakan pada Mac tahun depan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Che Arpah Ariffin berkata, adalah satu kerugian jika Shahrizat hanya memangku jawatan ketua pergerakan itu apabila pelan peralihan jawatan itu dilaksanakan.
“Kita akan kehilangan satu jawatan yang paling penting dalam pergerakan. Biarlah beliau (Shahrizat) pegang jawatan itu betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shahrizat semalam, mengeluarkan kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh pelan peralihan jawatan antara kedua-dua mereka dari Jun kepada Mac 2009.
Menurutnya, pertimbangan itu perlu bagi bagi memastikan pemilihan parti berjalan lancar tanpa gangguan akibat ketidakstabilan dalam pergerakan itu.
Che Arpah berkata, pelbagai perkara boleh terjadi sekiranya Wanita UMNO mengambil masa yang lama untuk menentukan siapa sepatutnya menerajui pergerakan.
“Sebagai akar umbi kita menyokong jika tarikh itu dipercepatkan selaras dengan pemilihan parti. Jarak tiga bulan itu tidaklah jauh sangat. Tapi ia tidak bermakna kita tidak kenang Rafidah. Kita akan kenang jasa beliau sampai bila-bila pun,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya Wanita UMNO melakukan peralihan jawatan dengan lebih teratur dan apa yang dinyatakan Shahrizat itu adalah bertepatan dengan kehendak akar umbi.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Roslin Abdul Rahman pula berkata, Rafidah diminta berkompromi dengan menyerahkan jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Shahrizat pada pemilihan parti nanti dan bukannya pada Jun 2009.
Katanya, ia bagi mengelakkan terjadi pertandingan yang boleh memecah-belahkan pergerakan itu.
“Adalah sangat baik sekiranya tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua itu. Rafidah perlu memikirkan semula memandangkan tempoh Mac kepada Jun 2009 tidaklah begitu jauh,” katanya.
Roslin berkata, akar umbi pergerakan masih berharap akan ada perubahan yang lebih baik walaupun keputusan Exco pergerakan itu telah dibuat hari ini iaitu tetap akan mengekalkan tarikh peralihan jawatan itu.
“Kita turut menyokong kenyataan Shahrizat untuk meminta Rafidah mempertimbangkan semula tarikh peralihan jawatan itu. Ini adalah untuk kepentingan parti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah, Hapsah Hamid yang turut menyokong kenyataan Shahrizat itu berkata, Wanita UMNO sememangnya menghormati Rafidah sebagai seorang pemimpin pergerakan yang berkaliber.
Namun kata beliau, sudah tiba masanya bagi Wanita UMNO mengubah kepimpinan yang baru demi perpaduan dan pengukuhan parti.
“Tidak salah jika tarikh itu dipercepatkan. Kita cuma tak mahu ada pertandingan yang boleh mengugat Wanita UMNO atau parti sahaja,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Shahrizat hanya memangku tugas ketua pergerakan, peranannya dalam Wanita UMNO mungkin tidak berkesan seperti apabila beliau memegang sepenuhnya jawatan tertinggi itu.
“Kita ada banyak kerja hendak dibuat. Dengan cabaran terhadap parti yang semakin memuncak kini kita perlu berdiri teguh dan mempunyai pendirian yang kukuh,” katanya.
Komen keras lagi pedas Sayuti itu saya petik dari blognya di sini.
Kata Sayuti Omar : RASUAH perbuatan haram dan keji dalam Islam. Tanggungjawab mencegahnya milik sesiapa juga yang membencinya. Tetapi dalam membuat teguran ia ada batas dan susilanya. Dalam konteks parti politik (organisasi), sesebuah parti lain tidak wajar kalau ia cuba menegur dan memperbaiki parti lain, termasuk soal-soal rasuah.
Bukan tidak boleh, tetapi ia dilihat tidak beretika. Beretika menurut pengertian harafiahnya ialah tidak ikut peraturan dan kelazimannya. Dalam bahasa keras, tidak beradab dan tahu adab. Biasanya mereka tidak beretika mereka yang belum tamadun!
Apa yang dilakukan oleh Pas Johor yang diketuai oleh Ketua Peneranganya, Mazlan Aliman (foto) membuat laporan kononnya berlaku rasuah dalam mesyuarat Umno Bahagian Kota Tinggi adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan tidak kena pada tempatnya. Ia dilakukan untuk mencari publisiti murahan bersifat semasa.
Kenapa Ketua Penerangan Pas itu menganggu urusan parti orang lain? Apakah Umno Kota Tinggi, khususnya Syed Hamid Albar turut sama menganggui urusan parti Pas. Menganggu urusan rumah tangga orang lain hanya dilakukan oleh mereka yang tidak tahu etika atau tahu adab saja. Semisalnya kambing yang termasuk dalam kandang babi, adalah kambing yang buta ilmu dan tidak jahil tatasusila!
Rasanya masih banyak lagi kalau Mazlan Aliman atau sesiapa orang Pas yang ingin mempopularkan diri. Masih banyak isu dan bukannya mencampuri hal ehwal orang lain secara langsung.
Komen Sayuti itu adalah selari dengan ulasan Datuk Syed Hamid Albar yang pelik dengan tindakan PAS tersebut.
Kata Syed Hamid :
”Saya hairan mengapa Pas suka menuduh dan memfitnah UMNO?
”UMNO sendiri ada saluran untuk aduan kes-kes sebegini dan Pas tidak perlu menyiasat sebarang dokumen berkaitan parti,”
Sementara itu Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.
Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau sudah pun berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan UMNO empat tahun lalu.
“Saya tidak ingat jumlahnya secara tepat tetapi rasanya sudah lebih 900 aduan mengenai politik wang diterima setakat ini,”
Jumlah aduan yang telah disiasat ketika itu ialah 135, sebanyak 40 aduan yang belum dimulakan siasatan, 51 aduan memerlukan dokumen tambahan, 92 aduan dalam kategori tiada tindakan lanjut dan 124 aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin.
Amat jelas bahawa saluran dalaman UMNO iaitu Lembaga Disiplin sudah menjalankan tugasnya. Dan di situ tidak wajarlah jika ada orang luar UMNO mencari publisiti murahan seperti tindakan PAS Johor itu.
Sayang kerana PAS semakin terdesak mencari jalan ‘menghitamkan ‘ wajah UMNO sedangkan mereka terlebih dahulu dilihat semakin lari dari landasan agama yang menjadi asas pergerakan politik ( baca :retorik ) perjuangan mereka selama ini…
Nampak sangat PAS sudah tidak relevan lagi dengan suasana politik semasa apatah lagi selepas ‘dipecah belahkan’ oleh Anwar yang sangat terdesak untuk menduduki kerusi PM walaupun menggunakan matlamat menghalalkan cara…
Termasuk pujukan melompat parti yang diharamkan pada awalnya oleh Nik Aziz dan dihalalkan kemudiannya.
Kita akan tengok apa lagi tindakan seterusnya dari pemimpin PAS selepas ini, adakah berlandaskan Islam atau jembalang !!!!
1. Pembangkang memainkan isu ini walaupun kita tahu isu peralatan senjata adalah rahsia yang tidak boleh didedahakan dengan mudah kepada pihak pihak tidak berkepentingan.
2. Keterbukaan TPM Datuk Seri Najib untuk membenarkan PAC menyiasat telah berjaya menaikkan moral bakal PM Malaysia tahun depan. Sekaligus mematikan hasrat pembangkang menjatuhkan maruah beliau yang sekian lama diasak hingga ke dinding oleh pakatan rakyat mereka.
3. Ekoran keputusan PAC tidak menemui unsur meragukan dalam urusan pembelian Eurocopter tersebut maka pembangkang tidak puas hati dan mengandaikan bahawa Pengerusi PAC iaitu Datuk Azmi Khalid menyembunyikan penyelewengan walaupun hakikatnya pembangkang turut sama berada di dalam keanggotaan PAC tersebut. Seperti anggota MP dari DAP kawasan Kepong Tang Seng Gaw dan ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaafar.
4. Apabila perhatian rakyat telah memenuhi ruang isu di atas maka isu liwat telah berjaya dialihkan dari diberi perhatian sepenuhnya oleh penyokong dan pengundi Pakatan Rakyat. Permainan ‘kotor’ demi kepentingan peribadi ini sangat dikesali kerana ia akan membawa politik kita ke era terkebelakang dan tidak lagi mencerminkan pegangan agama dan adat susila timur yang telah berakar umbi sekian lama di negara kita.
Rakyat pasti nampak permainan mereka ini dan kita doakan mereka akan sedar dan berhenti menyokong pergerakan politik tidak bermoral ini.
Baca berita di bawah :
Tuduhan kerajaan belanja besar beli Eurocopter tak berasas – Najib
KUALA LUMPUR 5 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tuduhan pembangkang bahawa kerajaan berbelanja besar bagi pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion ternyata meleset dan tidak berasas berdasarkan penilaian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Beliau berkata kerajaan mempunyai sistem dan ia akan dipastikan telus dan mengikut peraturan.
“Maknanya tuduhan awal itu meleset sama sekali dan terbukti tidak ada asas.
Sebab itulah kita buka proses itu kepada PAC. Walaupun daripada segi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) soal keselamatan negara sebenarnya tidak wajar didedahkan kepada terlalu ramai pihak.
“Namun oleh kerana (ia) sudah dijadikan sebagai satu isu besar oleh parti pembangkang jadi kita ambil langkah membenarkan PAC membuat penyiasatan,” katanya kepada pemberita selepas temu bual khas dengan RTM mengenai pakej rangsangan fiskal kerajaan bagi Bajet 2009 di Angkasapuri di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat PAC pada Isnin yang memutuskan bahawa tiada penyelewengan daripada segi prosedur dalam pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion. – BERNAMA
Berita sebelumnya :
Beli Eurocopter: PAC dapati tiada unsur seleweng
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Tiada unsur penyelewengan dalam isu pembelian Eurocopter, yang memerlukan dana RM1.6 bilion, yang ditangguhkan Selasa lalu. Demikian hasil siasatan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini.
Jawatankuasa itu mengadakan pertemuan sejak minggu lalu untuk meneliti isu pembelian Eurocopter yang ditangguhkan minggu lalu.
Ketika mengumumkan hasil siasatannya, Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, siasatan pihaknya menunjukkan semua prosedur pembeliannya dijalankan dengan betul.
Kata beliau, berdasarkan kepada tinjauan selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, didapati prosedur pembelian memang mengikut tatacara yang ditentukan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
“Memang dari segi tanggungjawab PAC adalah untuk melihat sama ada prosedur diikuti.
“Perlu diingat ini adalah tender antarabangsa, kita sedang diperhatikan dunia.
“Jadi kita perlu teluas… Jadi, dalam proses penilaian, kita dapati prosedurnya diikuti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini hari ini.
PAC turut memperakui bahawa adalah menjadi keperluan dalam bidang pertahanan negara untuk mempunyai helikopter yang terkini selepas mendapati helikopter Nuri yang dimiliki sejak 40 tahun lepas, kini di dalam proses pelupusan dan penggantian.
Beliau berkata, daripada tujuh penender yang mengemukakan tender pembelian helikopter, tiga daripadanya didapati sesuai yang menawarkan harga pada RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.
“Tanggungjawab PAC ialah untuk melihat prosedur diikuti dan perlu diingat bahawa ini ialah tender antarabangsa,” kata beliau.
“Ada beberapa persepsi yang perlu diperjelaskan, ada yang kata harganya ialah RM2.3 bilion, RM1.67 bilion dan juga RM1.1 bilion… semua itu salah.
“Ada tiga tender yang sesuai. Harga yang lebih rendah ialah RM1.267 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.
“Namun kerajaan putuskan untuk membeli helikopter yang berharga RM1.604 bilion iaiu jenis eurocopter,” katanya.
Bagaimanapun PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab sebelum kerajaan memutuskan untuk membuat pembelian 12 buah Eurocopter EC-725.
“Cuma PAC kurang senang tentang tidak adanya penilaian fizikal, maknanya tiada pemeriksaan yang terpeinci bagi jenis helikopter yang hendak dibeli,” katanya.
Siasatan PAC tidak hanya memberi tumpuan kepada isu pembelian Eurocopter sebaliknya turut menyentuh mengenai perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab jawatankuasa tersebut.
Tambah beliau, PAC diberitahu bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak membuat sebarang uji terbang tehadap helikopter tersebut kerana ia kini diguna pakai diperingkat antarabangsa.
“Juruterbang TUDM telah buat uji terbang jenis ini (Eurocopter) dahulu, jadi berasakan pengalaman tersebut maka mereka rasakan tidak perlu (penilai fizikal),” katanya.
Bagaimanapun katanya, PAC mencadangkan supaya apabila sampai ketahap penyerahan helikopter tersebut walaupun pembeliannya ditangguhkan, maka TUDM perlu membuat pemeriksaan yang rapi sebelum menerimanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu mengumumkan penangguhan tersebut berkata, PAC diberi peluang untuk memperhalusi mengenai perkara yang berkaitan dengan cadangan pembelian 12 buah Eurocopter EC-725.
Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti isu pembelian Eurocopter akan diteruskan hari ini walaupun kerajaan telah memutuskan penangguhan pembelian helikopter terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rancangan pembelian Eurocopter yang secara keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion akan ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan, keputusan penangguhan tersebut dibuat pada 13 Oktober lalu oleh Majlis Ekonomi.
Abdullah menegaskan, beliau percaya pembelian Eurocopter dilakukan secara telus melalui tender terbuka.
“Cadangan telah pun dikaji oleh Kementerian Pertahanan untuk mementukan helikopter mana yang hendak dibeli dan semua ini dibuat mengikut tender terbuka dan daripada tender inilah maka Euro helikopter itu dipilih kerana ia memenuhi keperluan-keperluan kita… spesifikasi yang telah ditetapkan itu nampaknya dipenuhi oleh Euro Helikopter,” katanya.
Abdullah menafikan dakwaan bahawa Eurocopter dibeli dengan harga RM2.3 bilion dan ia dibeli dengan harga yang lebih mahal berbanding helikopter yang sama dibeli oleh Brazil.
Abdullah berkata, pembelian Eurocopter dilihat begitu mahal kerana ia mempunyai beberapa fungsi termasuk bagi tujuan menyelamat, pertempuran dan pengangkutan.
Kerajaan melalui mesyuarat Kabinet pada 18 Julai 2007 memutuskan untuk membuat perolehan bagi menggantikan pesawat Nuri berikutan rungutan beberapa Anggota Parlimen dan masyarakat umum berhubung helikopter jenis itu yang sering terlibat dalam nahas udara dan mengorbankan anggota tentera.
Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik Eurocopter Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADs) dan kementerian itu mengeluarkan Surat Hasrat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.
Bagaimanapun isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 itu timbul semula sebaik ianya diumumkan Abdullah pada 26 September lalu.
Isu ini turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu yang ingin mengetahui ketelusan dalam pembelian Eurocopter kerana didakwanya memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.
Jika kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak mengambilkira sensitiviti orang-orang Melayu di negeri itu, ia mungkin akan ditolak dalam pilihan raya akan datang, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad.
“Isu-isu yang khusus untuk pengundi-pengundi Melayu seperti ladang babi RM100 juta, kemasukan pelajar bukan Melayu ke dalam UiTM, penggantungan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), amaran untuk merobohkan surau-surau tanpa izin dan perlantikan pengurus besar Cina bagi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi modal-modal Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sama ada isu-isu itu benar atau tidak, wajar atau sebaliknya, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan itu, PR perlu melihat ancaman propaganda BN ini sebagai serius.
“Orang Melayu pun ada perasaan. Jika kita turun ke bawah bersama rakyat, kita boleh rasa ada perasaan bimbang dan gusar di kalangan orang-orang Melayu. Hati mereka, sensitiviti mereka, juga mesti dijaga. Mereka bukan batang kayu yang tidak bernyawa!
“Jangan PR pula menjadi seperti Umno dan BN, menganggap orang Melayu bodoh dan undi mereka senang hendak dipancing. Orang Melayu juga pandai menilai. Umno menerima padahnya pada pilihanraya 1999, sehingga (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) terpaksa berundur.
“Jika PR kalah di semua kerusi majoriti Melayu, keadaannya akan menjadi terbalik. BN pula akan ada 36 kerusi dan PR hanya 20. Fikirkanlah!” beliau mengingatkan.
Menurut Iskandar, strategi BN di Selangor untuk menawan balik negeri ini kelihatan terang dan jelas.
Kemenangan PR dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah hasil dari peningkatan undi kaum Cina dan India manakala kebanyakan pengundi Melayu kekal bersama BN kecuali di bandar-bandar besar, kata beliau yang juga Adun Chempaka.
“Keyakinan terhadap MCA, MIC dan Gerakan masih belum dipulihkan, harapan untuk memenangi kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu adalah amat tipis.
“Fokus BN nampaknya lebih kepada pengundi Melayu. Jika mereka yang dulunya mengundi PAS atau PKR di kerusi-kerusi majoriti Melayu dapat ditarik, undi orang Cina dan India mungkin tidak lagi menjadi penentu,” kata beliau lagi.
Malaysiakini hari ini melaporkan, seorang wira bangsa bernama Abdul Syukur Idrus bertempik, “MB (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim) mencari kaedah untuk mengembalikan sokongan-sokongan bangsa lain kepada mereka (kerajaan Pakatan Rakyat Selangor) tanpa mengira maruah bangsa (Melayu) yang dijual”.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Selangor berkata, tindakan menteri besar melantik Low Siew Moi sebagai Pengurus Besar Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dipercayai atas desakan pihak lain, kemungkinannya DAP “untuk menguasai kerajaan.”
Adun Kuang itu juga berkata, Pemuda Umno Selangor akan menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi mengkaji kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Bagi sesiapa yang hendak bersatu dengannya, Abdul Syukur menyeru orang Melayu di negeri itu tanpa mengira ideologi politik agar bersatu “supaya tidak diperkotak-katikkan”. Diharap tidak ada yang menghampakan jemputan pemuda pembela bangsa itu.
Posting asal di blog No2Umno di sini…
Komen saya :
1. Kesan serangan dan pendedahan fakta sebenar di sebalik setiap peristiwa yang berlaku oleh BN dan jenteranya telah menggentarkan PR dan menimbulkan kebimbangan PAS di Selangor.
2. Melayu sudah mula sedar hasil gerakan besar besaran dan berterusan khasnya oleh Utusan Malaysia isu isu tersebut hingga ramai telah berfikir kembali tentang sokongan mereka terhadap DAP yang sangat jelas telah memperkudakan MB Khalid melalui isu isu di atas, yang juga selalu suka memperlekeh Melayu dan tiada rasa kekitaan dan jati diri Melayu Islam seperti UMNO.
3. Kerna itu PR sudah merasa sangat terancam dan menjadikan alasan laporan berita tidak beretika sebagai ‘topeng’ untuk menutup kelemahan yang didedahkan oleh Utusan Malaysia sehingga melancarkan kempen boikot Utusan yang nampaknya dipelopori orang Cina seperti Teresa Ko yang mana dikatakan ditangkap ISA ekoran berita / rencana yang disiar di akhbar pembela Melayu Islam tersebut dan Ng Suee Lim yang mana merupakan Adun Sekinchan pada 22 Okt lepas.
Tidak cukup dengan itu, DAP turut menggesa boikot SEMUA PENERBITAN UTUSAN (klik sini).. Memang gila dendam kesumat mereka ini dan malangnya PAS tidak sedar lagi keadaan ini. Mungkin mereka juga merasa ‘diluah mati emah, ditelan mati bapak’..Tapi jika agama ‘mati’ kerana politik songsang mereka, adakah mereka tidak takut disoal Tuhan nanti ?
Teresa pakai lencana boikot Utusan

SHAH ALAM 22 Okt. – Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor hari ini mengedarkan kira-kira 500 lencana memboikot akhbar Utusan Malaysia.
Lencana tertulis perkataan ‘PAKATAN RAKYAT BOIKOT Utusan‘ itu turut dipakai oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok. Ia diedarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhenti rehat tengah hari ini.
Selain memberinya kepada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, Suee Lim juga dilihat mengedarkan lencana itu kepada orang ramai yang berada di dewan makan DUN termasuk para petugas media.
“Ambil oleh-oleh ini, kita sediakan 500 keping, cukuplah dahulu,” kata Suee Lim yang turut menghulurkan lencana itu kepada wartawan Utusan Malaysia dan KOSMO!.
4. Jika Utusan dikuburkan dan tidak disokong oleh UMNO sendiri, tentu perjuangannya akan mati dan selepas ini kita akan kehilangan suara lantang sejak zaman berzaman yang kerap menegakkan hak hak kita dan menentang sesiapa sahaja yang cuba menjadikan isu hak istimewa sebagai ‘mainan’ politik mereka.
Realitinya sekarang, PR akan dikuburkan oleh perbuatan pemimpin PR sendiri dan bukannya dari serangan atau pendedahan BN atau UMNO ke atas mereka. Seperti mana kata kata YDP PAS di atas.
Jika ia berlaku, ia adalah kiamat kepada politik pembangkang yang telah diberi kuasa hingga memerintah 4 negeri tidak termasuk Kelantan, tanpa mereka sendiri menduga akan mendapat ‘durian runtuh’ sebesar itu. Malangnya peluang tersebut telah disia siakan oleh PR yang gagal menunjukkan mereka juara semua kaum, kerana di sana sangat jelas aspirasi bukan Melayu diutamakan tanpa mengira lagi sensitiviti Melayu yang turut ‘terpedaya’ dan menyokong perjuangan mereka.

Dengan peralihan kepada PM baru oleh Datuk Seri Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, keyakinan semua kaum kepada kerajaan BN/UMNO diharap akan kembali kuat sebagaimana gelaran Bapa Perpaduan yang telah diberikan kepada ayahandanya kerana berjaya menjayakan perpaduan bangsa Malaysia merentasi bangsa dan mana mana agama, akan diwarisi oleh beliau . Dan diharapkan juga dakyah pembangkang akan kembali lemah dengan peralihan kuasa pucuk pimpinan parti tonggak Melayu UMNO dan juga pimpinan negara yang akan berlaku beberapa bulan sahaja lagi dari sekarang.
Semoga Malaysia akan tetap aman dan makmur serta selamat senantiasa……









