Hanipa Maidin dan Husam : Double H dalam PAS yang pro Anwar ?

Baca petikan artikel dari blog beliau sendiri. Nada yang sama dengan Husam Musa. Berkongsi nilai persamaan demi menolak BN / UMNO. Pemikiran aliran profesional dalam PAS yang kontra dengan pemikiran ulama di dalam PAS… Pertembungan yang sudah bernanah dan sudah pecah !

Adakah ada yang akan keluar parti dan menyertai PKR atau parti nama baru menggantikan PAS seperti UMNO yang juga ‘rebrand’ semula selepas pengharamannya tahun 1988 ? Allah lebih tahu …..

Anda beri pendapat jika ada di tempat komen di bawah. Mungkin ada benarnya kata kata anda.

PAS MUNGKIN AKAN SUKAR DIPERCAYAI LAGI SELEPAS INI

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apa yang saya tulis diblog ini adalah pendapat peribadi saya. Saya tidak menulis atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat. Tulisan ini menggambarkan betapa frustnya saya ( dan mungkin juga ahli-ahli PAS yang lain ) apabila Dato’Presiden PAS mengakui bahawa terdapat pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen .

Terus terang sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat ,saya tidak mempunyai pengetahuan langsung pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen. Presiden PAS menyatakan ianya dimaklumkan kepada beliau dan Majlis Syura Ulama’. Saya kurang faham dengan alasan ini. Setahu saya Majlis Syura akan hanya dilibatkan jika isu ini melibatkan soal hukum. Saya tidak nampak pertemuan dengan UMNO melibatkan soal hukum . Ia lebih kepada isu strategi- di bawah bidangkuasa Jawatankuasa PAS Pusat.

Tidak mengapa, saya akan bertanyakan hal ini di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat nanti.

Saya tidak pernah percaya kepada UMNO. Atas dasar itu saya menyokong PAS sejak dibangku sekolah lagi . Saya orang Johor. Saya menyokong PAS ketikamana orang di negeri saya masih memandang PAS sebagai satu parti yang begitu asing. Saya menyokong PAS kerana yakin bahawa Parti tersebut ingin mendaulatkan Islam. UMNO adalah parti yang banyak jenayahnya terhadap Islam. Kesalahan ulung UMNO adalah mencipta Islam hadhari. Presiden PAS menulis sebuah buku bagi menyerang Islam Hadhari kerana Islam Hadhari telah membawa umat Islam keliru dengan Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya.

Pilihanraya yang lepas UMNO bermatian-matian ingin merampas Kelantan- sebuah negeri yang diperintah oleh PAS . Kelantan adalah benteng terakhir untuk Islam didaulatkan di negara ini. Saya mengakui saya masih belum berpuashati dengan perlaksanaan Islam di Kelantan. Gelagat sesetengah pemimpin PAS di Kelantan amat memualkan hati saya meskipun saya adalah ahli dan pemimpin PAS. Kelantan bukan model yang terhebat di dalam mendaulatkan Islam di negara ini. Ini tidak pelik kerana berdasarkan sistem federalism yang diamalkan di negara ini kuasa Kerajaan Kelantan untuk menegakkan Islam di dalam erti kata yang sebenarnya terhalang oleh banyak halangan . Namun siapa boleh menafikan bahawa Kelantan telah banyak berusaha melaksanakan Islam yang jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum PAS mengambil alih pada tahun 1990.

Saya penuh yakin Tuan Guru Nik Aziz telah berusaha keras untuk mendaulatkan Islam di Kelantan. Moga Allah merahmati beliau di atas usaha murninya itu.
Atas dasar itu saya sama sekali tidak boleh menerima tindakan UMNO yang bermatian-matian ingin merampas Kelantan dari PAS. Sahabat saya Y.B Salahudin menyatakan kepada saya semasa tempoh kempen pilihanraya yang lalu, beliau dapat meraskan betapa cemasnya pemimpin PAS dengan serangan hebat UMNO yang ingin merampas balik Kelantan.

Bagaimanapun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hasrat dan niat jahat UMNO ingin merampas Kelantan menyaksikan Kerajaan PAS kekal dengan selesa di Kelantan sebaliknya lima buah negeri yang diperintah oleh BN/UMNO sebelum pilihanraya yang lepas dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga tidak akan lupa betapa jahatnya UMNO menggunakan taktik paling kotor untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Trengganu. Rakyat Trengganu yang menyokong PAS didera dengan hebat seperti menarik balik royalti petroleum. Menteri Besar Trengganu yang sekarang ini dan UMNO Trengganu juga tidak pernah bersuara menentang tindakan zalim UMNO Pusat menarik balik royalti petroleum. Kini lepas Mahathir tidak berkuasa baru mula berani bercakap. Saya tidak hormati langsung Menteri Besar seperti ini. Apabila Pemimpin Pas Trengganu berjumpa beliau baru-baru ini ianya amat memualkan saya.

Telah menjadi pengetahuan umum sokongan orang bukan Islam menentukan kemenangan Pakatan Rakyat dan menumbangkan UMNO/BN. Meskipun media tajaan UMNO tidak henti henti cuba melakarkan PAS sebagai parti yang melampau/ekstrem dan pelbagai lakaran yang negatif, orang bukan Islam tetap menyokong PAS. Sokongan kaum India menyebabkan Dr Mariah menjadi calon PAS yang menang dengan manjoriti yang paling besar . Meskipun saya kalah di Tangjung Karang namun sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada saya.

Sokongan kaum non muslim kepada PAS Alhamdulillah berterusan selepas pilihanraya. Di Puchong telah ada penyokong PAS dari kaum India yang telah memeluk Islam. Ini satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Ada kaum India yang membubarkan cawangan MIC dan menubuhkan kelab penyokong PAS. Calon tajaan PAS di Ulu Tiram , Johor saudari Kumutha meminta ahli PAS mendoakan agar beliau terus bersama kepimpinan Ulama PAS. Permintaan kaum bukan Islam untuk menubuhkan kelab penyokong PAS semakin hari semakin meningkat. Malahan ahli-ahli kelab penyokong PAS merayu ingin menjadi ahli PAS dan meminta PAS bertindak segera menerima mereka sebagai ahli.

Malangnya semuanya ini kini mula bertukar sedikit demi sedikit apabila PAS terjebak sekali lagi dengan permainan licik UMNO. UMNO mencanangkan dan memainkan gendang muzakarah. PAS yang kita tahu dipimpin oleh orang-orang yang baik malangnya termakan dengan umpan jahat dan busuk UMNO. Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja baik dan digelar al-amin Baginda juga mempunyai sifat fathonah ( bijaksana ). Di dalam politik fathonah amat berguna.

Orang bukan Islam mula bertanya adakah PAS telah mengkhianati sokongan mereka. Semasa pilihanraya lalu kami menolak politik perkauman UMNO dan tertarik dengan mesej PAS iaitu “PAS FOR ALL” yang sesuai dengan sifat Islam yang universal. Tapi, keluh orang bukan Islam, kenapakah PAS kini mula bercakap senada dengan UMNO. Hanya beberapa bulan pilihanraya berlalu, kenapakah PAS bersedia merapati UMNO semula. UMNO yang semakin lemas kini cuba diselamatkan oleh PAS.

Ini keluhan yang serius. Pemimpin PAS khususnya Presiden dan Timbalannya harus peka dengan keluhan ini . Meringankan hal ini “is at our own peril”

Ya, Pakatan Rakyat adalah satu Pakatan yang longgar. Banyak kelemahan di sana sini. KEADILAN ada kelemahannya. DAP ada kelemahannya. PAS juga ada kelemahannya. Tetapi di sana ketiga-tiga Parti tersebut ada kekuatan yang dikongsi bersama. Kekuatannya adalah ketiga-tiga benci dan menentang kezaliman yang UMNO lakukan. Ketiga-tiganya bencikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketiga-tiganya mejuarai isu rakyat Ketiga-tiganya sedang berusaha keras ingin menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto mereka. Kekuatan inilah yang akan melahirkan satu ledakan yang kuat yang akan menghancurkan UMNO pada masa pilihanraya umum yang akan datang.

Saya tidak pasti orang bukan Islam, Parti KEADILAN dan DAP akan terus mempercayai PAS selepas ini. Saya harap mereka masih percaya. Tapi secara realistik saya yakin mereka ,kalau pun tidak hilang kepercayaan kepada PAS , tetap kurang percaya kepada PAS.

Kalau mereka hilang kepercayaan kepada PAS saya berani mengatakan ianya akibat percaturan salah sesetengah pemimpin PAS dan PAS terpaksa membayar harga yang mahal terhadap percaturan salah tersebut.

Adakah PAS boleh dianggap mengkhianati sokongan orang bukan Islam ? Hanya masa yang menentukan !!!

posted by hanipamaidin @ 11:26 AM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s