Desakan menggunakan Bahasa Melayu bagi Sains dan Matematik – Surat Persada untuk Menteri

Saya mendapat email surat Persada ini. Memandangkan ia sama dengan pendapat saya juga bahawa kita perlu menukar kembali penggunaan bahasa Inggeris kepada bahasa kita, maka ingin siarkan kembali surat tersebut di blog ini.

Ia sebagai satu usaha meningkatkan lagi kempen menggunakan bahasa melayu kita sebagai bahasa ilmu. Barulah ia akan dapat menaikkan lagi tahap kemuliannya di mata bangsa dan warga kita. Jika tidak kita tentu akan melihat negara lain semakin maju walaupun menggunakan bahasa ibunda mereka di pentas dunia.

Presiden Iran juga dilihat berpidato di PBB dengan bahasa negaranya, bukan dengan bahasa asing yang tidak melambangkan idenititi negaranya.

Sepatutnya pemimpin kita juga kena bangga dan menggunakan bahasa kita semasa berucap di pentas dunia. Biarlah orang menggunakan penterjemah asalkan khalayak akan semakin ‘dimesrakan’ dengan istilah dan laras bahasa kita yang sukar diangkat ke mercu tanda penghargaan jika bukan bangsa kita sendiri yang memuliakannya.

Ini surat PERSADA yang boleh anda panjangkan juga kepada sesiapa sahaja….

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)

No. 8, Jln. 19/13

46300 Petaling Jaya

Selangor.

6 Oktober 2008

Kepada:

Menteri Pelajaran

Timbalan Menteri Pelajaran

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

Menteri Pengajian Tinggi

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Menteri-menteri,

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) WAJAR DIMANSUHKAN DI SEMUA SEKOLAH DAN IPT

Merujuk perkara di atas, kami selaku Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah mengkaji dan mempertimbangkan perihal isu berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang kita sedia maklum, ia mula dicadang dan dilaksanakan pada tahun 2003 dan tahun 2008 ini merupakan tahun kelima pelaksanaannya. Jika diikutkan, PPSMI untuk kumpulan perintis akan berjalan selama lima tahun. Menurut Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein, projek perintis inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya. Justeru, kami merasakan adalah amat wajar sekiranya PPSMI dimansuhkan di kesemua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) jika diteliti kepada kesan dan hasilnya setelah lima tahun pelaksanaannya.

Jika melihat kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini, dengan terhentinya pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, maka ini juga bererti bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah dikhianati dan dicabuli. Menurut Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, zaman ini merupakan zaman penghinaan kepada seluruh bangsa Melayu, zaman cabaran dan pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Sekiranya kerajaan masih terus-terusan meminggirkan bahasa Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan akan mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Daripada aspek pencapaian pelajar pula, kita mendapati bahawa berlaku kemerosotan yang serius terhadap pencapaian pelajar dalam subjek-subjek berkenaan. Hal ini demikian kerana kurangnya minat pelajar untuk belajar subjek-subjek berkenaan kerana kesukaran untuk memahaminya. Jika merujuk kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70 peratus murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus terhadap pengajaran subjek Sains dalam Bahasa Inggeris dan mereka ‘sukar atau agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka dalam Ujian Matematik dan Sains juga rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai. Ia telah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit pula meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris mereka. Maka, tidakkah keadaan ini akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita?

Selain itu, keadaan ini turut menambahkan bebanan guru kerana mereka terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing, khasnya pelajar sekolah rendah. Tidak dapat tidak, guru-guru terpaksa belajar ilmu nahu atau ilmu tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran, kerana bukan semua guru tersebut mahir berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan merumitkan para guru dalam memberikan kefahaman kepada pelajar, sekaligus memberi tekanan kepada mereka. Dalam pada itu, mereka terpaksa pula menghadiri kursus-kursus bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, supaya dengannya para guru berupaya menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan, dan tentunya memakan masa yang lama. Jika seorang guru pun sukar untuk memahami dan menyampaikan pengajarannya dengan baik, maka tentulah pelajar akan lebih memerlukan masa yang lama dalam memahami subjek yang dipelajari.

Jika difikirkan secara terperinci, pelaksanaan sesuatu dasar jika sekadar mahu mencuba dan melihat dahulu impaknya merupakan dasar yang tidak menjamin masa depan rakyat. Rakyat seolah-olah menjadi bahan uji kaji. Jika dasar ini tidak berjaya, apakah kerajaan mampu mengembalikan masa depan pelajar-pelajar kita yang telah gagal dalam pengajian dan terjerumus ke lembah sosial?

Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua, (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya. Di samping itu, UNESCO juga memetik daripada ‘Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef’) sebagai berkata: “Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah ialah bahasa yang tidak digunakan sebagai bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.” Maka, tidakkah kerajaan melihat kepada rumusan dan kajian yang dilakukan oleh UNESCO ini sebagai prinsip sebelum mengambil keputusan melaksanakan dasar PPSMI di negara ini?

Justeru, kami dengan tegasnya memohon supaya kerajaan memansuhkan dasar PPSMI di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) demi memartabatkan semula bahasa Melayu dan sebagai inisiatif untuk mengembalikan kecemerlangan pencapaian para pelajar kita. Hal ini kerana para pemimpinlah yang harus membela bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di negara kita. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang bahasa Melayu dari lidah kita, maka di manakah identiti kita sebagai bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu begitu gah dengan kekayaan berbahasa dan kehalusan budi pekerti? Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan tamadun Melayu semakin lama semakin hilang identitinya, maka janganlah bahasa Melayu yang satu ini turut mengalami nasib yang sama.

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) sangat berbesar hati sekiranya YB Menteri-menteri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkara yang kami utarakan ini.

Sekian. Dengan salam hormat.

Yang benar,

MOHD FAISAL MUSTAFFA

Presiden Penaja

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)

http://faisalmustaf fa.com/v2/

One thought on “Desakan menggunakan Bahasa Melayu bagi Sains dan Matematik – Surat Persada untuk Menteri

  1. Hulubalang 7 Nyawa says:

    Jika YB-YB,Datuk-Datuk Menteri masih tidak memahami mesej apa yang cuba di sampaikan oleh PERSADA. Hamba kira eloklah mereka menukar kerakyatan menjadi Bangsa Eropah dan sebagainya. Pelik juga bila idea pembelajaran dalam bahasa inggeris terhadap beberapa subjek yang dicadangkan oleh seorang yang kononnya pandai itu di terima pakai. Mengapa begini jadinya. Arah mana pemikiran yang menghanyutkan tamadun Bangsa Melayu. Sudut mana pemimpin kita melihat kebaikkannya. Bagaimana mereka merancang dan merangka. Itu sajakah idea atau hasil perbincangan mereka selama ini. Jika dilihat, banyak keburukkan dari kebaikkan.satu kebaikkannya Rakyat kita dipandang mulia di persada dunia sebabnya tahu berbangsa penjajah. Maknanya satu dunia tahu kita pernah dijajah. Baguslah sekurang-kurangnya mereka memandang tinggi, mungkin itu yang pemimpin kita mahukan. Satu sudut lain pula kebaikkannya melahirkan masyarakat yang berprestij di mata dunia dengan gaya dan lenggok bahasa yang dianggap versatil . Namun hakikatnya kemampuan bangsa kita tidak diambil kira secukupnya untuk mempelajari serentak bahasa inggeris, matematik dan sains. Kita tak usah bicarakan tentang penerimaan murid. Bagaimana kemampuan guru, adakah mereka benar-benar bersedia dan cukup terlatih untuk itu. Kenapa bahasa kita tidak dipertahankan dan dipopularkan ke tahap antarabangsa, Apa kurangnya bahasa kita, apa lebihnya bahasa mereka. Kita yang meletakkan taraf bahasa kita sendiri, Siapa pun tidak salah, semua ingin hasrat yang sama,iaitu Memartabatkan Bahasa yang sekaligus mengangkat Bangsa Melayu, cuma jalannya sahaja berbeza. Maknanya satukanlah jalan dahulu. kekalkanlah semual bahasa ibunda..jika tidak kita akan terus dihimpit rasa bersalah terhadap mereka yang pernah lahir dahulu sebelum kita. Jika tidak kitalah sebenarnya pengkhianat bangsa dan bahasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s