Cerpen Chamil ‘berjaya’ provok reaksi – Dinsman

Cerpen Chamil ‘berjaya’ provok reaksi
Posted on Thursday, October 23 @ 19:36:56 MYT by reformis
Artikel
Oleh Dinsman


Jarang sangat saya baca cerpen dalam akhbar mingguan. Biasanya kalau tak ada kawanmemberitau ada cerpen yang baik, atau ditulis oleh pengarang tertentu, saya tak baca. Kaliini ada kawan bertanya, “Siapakah pengarang cerpen dalam MM yang lepas? Kenapa pengarang sampai jadi gitu?”

Saya pun terpaksalah cari suratkabar itu sebelum menjawab smsnya. Dan selepas baca saya pun jawab. Tiba-tiba wartawan dari Malaysiakini pula telefon, minta komen terhadap cerpen itu. Mudahlah saya menjawabnya, sebab baru baca.

Rupa-rupanya ada dua orang lagi sahabat saya yang diminta pendapat mengenai cerpen itu, dan pendapat mereka rupa-rupanya tak sama dengan saya. Mereka mengecam cerpen itu, sedangkan saya memujinya sebagai ‘berjaya’.

Saya menganggap cerpen itu ‘berjaya’ bukan dari segi nilai estetikanya, tetapi dari segi kejayaannya memprovokasi pembaca hingga ia sampai dibincangkan di Parlimen dan dibawa ke balai polis untuk dibuat ‘repot polis’.

Wah, hebatlah ya, sebuah cerpen kalau boleh mendapat reaksi sehingga demikian daripada pembaca, ‘kan! Mana pernah kita dengar orang buat repot polis disebabkan sebuah cerpen? Seingat saya belum pernah, di negara kita. Di negara luar saya tak tahulah, tapi di negarakita ini kali pertama. Hebatlah tu!

Soal apa isinya sehingga ia dibawa ke Parlimen dan ke balai polis – inilah yang menjadi persoalan. Ia dikatakan membayangkan cerita Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, yang dituduh anti-Melayu dan anti-Islam berikutan beberapa tindakannya baru-baru ini. Dalam cerpen ituAhli Parlimen berkenaan (diberi nama YB Josephine = YB J) telah ditembak mati oleh seseorangdi dalam suatu majlis yang dihadiri oleh generasi muda seketurunan dengan YB J.

Adegan YB J dibunuh itulah yang menimbulkan kegemparan di kalangan tokoh pimpinan DAP, khasnya Penasihatnya Lim Kit Siang, yang membawanya ke Parlimen, dan Pemuda DAP yang membuatlaporan polis, di Balai Polis Dang Wangi.

Adegan itu dianggap seolah-olah menunjukkan bahawa pengarangnya sendiri mahu supaya YB J (yang dianggap membayangkan YB Teresa) dibunuh. Anggapan itu diperkuatkan lagi dengan isi catatan yang ditemui pada mayat si pembunuh, yang “ditulis dalam bahasa kebangsaan”, iaitu:

“YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk

 masa depan.”

Lim Kit Siang bertanya, dalam blognya: “Apakah reaksi wakil-wakil rakyat Umno dan BN jika Perdana Menteri atau Timbalannya menjadi sasaran seumpama

 Teresa dalam satu cerpen tidak bertanggungjawab seperti karya Chamil?”

Tanggapan saya mudah saja. Ini sebuah cerpen, yakni sebuah fiksyen. Maka lihatlah ia sebagai sebuah fiksyen. Kalau ada pembunuhan di dalamnya pun, itu adegan pembunuhan di dalam sebuah fiksyen. Bilakah pula si pengarang fiksyen dikatakan harus bertanggungjawab terhadap pembunuhan di dalam fiksyennya?

Seperti saya katakan kepada Malaysiakini, saya sendiri pun dalam teater “Tamu Dari Medan Perang” pernah menganjurkan supaya Presiden Bush (Presiden Amerika Syarikat) dibunuh, kerana permusuhannya yang nyata terhadap Islam dan dia sendiri menganjurkan peperangan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa umat Islam. Tetapi itu hanya sekadar idea di dalam sebuah karya fiksyen.

Kita boleh bersetuju dan boleh tidak bersetuju dengan isi kandungan sesebuah fiksyen. Ia hanya suatu idea, suatu wacana. Berdasarkan prinsip kebebasan bersuara, maka hak seorang pengarang untuk berkarya haruslah dihormati. Sepertimana kita pernah menghormati hak Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam menghasilkan novelnya Shit, begitulah juga kita harus menghormati hak Chamil Wariya ini.

Mungkin dilihat dari sudut estetika, cerpen “Politik Baru YB J” itu agak kurang bermutu. Tetapi itu soal lain. Prinsip kebebasan bersuara tidak boleh kita lupakan atau kita ketepikan hanya kerana kita menganggap karya itu kurang bermutu. Sama saja dengan Shit. Ada orang menganggapnya bermutu dan ada orang menganggapnya tidak bermutu. Namun hak Shahnon dalam berkarya tetap kita hormati.

Menghormati hak seseorang untuk berkarya tidaklah sama maknanya dengan menghormati peribadi seorang pengarang kerana kita bersetuju dengan idea dan pemikirannya. Kita boleh menghormati hak seseorang untuk berkarya, tetapi dalam masa sama kita tidak menghormati pengarang itu kerana idea dan pemikirannya yang cetek dan dungu, misalnya.

Makanya saya tidak bersetuju dengan idea hendak mengambil tindakan tertentu terhadap pengarang cerpen ini. Di manakah kebenarannya apa yang kita laung-laungkan selama ini mengenai “kebebasan bersuara” dan “kebebasan berkarya”?

Selagi aksi tembak atau bunuh itu tidak keluar daripada daerah fiksyennya, saya berpendapat kebebasan pengarangnya tidak perlu diganggu-gugat. Lainlah kalau pengarang itu mengambil langkah-langkah tertentu di dunia nyata, sebagai menyokong idea atau wacananya di dalam karya fiksyennya.itu. Ha, di kala itu persoalannya bukanlah lagi persoalan fiksyen.

Namun begitu, saya pun tidaklah menyalahkan Lim Kit Siang atau Pemuda DAP yang bertindak membawa perkara cerpen itu ke Parlimen dan ke balai polis, kalau memang itu adalah reaksi mereka terhadap cerpen itu. Malah saya gembira, kerana sebuah karya sastera telah berjaya menggerakkan aksi-aksi politik dan sosial seperti itu.

Ini menunjukkan pentingnya karya sastera, atau perlunya karya sastera, kepada masyarakat. Bukan sahaja untuk kepuasan estetika kepada peminat-peminat seni, tetapi juga boleh berfungsi menggerakkan aksi-aksi politik dan sosial.


http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&file=article&sid=2381

One thought on “Cerpen Chamil ‘berjaya’ provok reaksi – Dinsman

  1. semutar kata says:

    Itulah penulisan berkesan. Tepatlah kenyataan bahawa mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Tetapi bukan semua mata pena sama ketajamannya, yang dapat memotong sebaiknya itulah selayaknya tajam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s