Reaksi Akar Umbi – selepas Peralihan kuasa Ketua Wanita dikekalkan Jun tahun hadapan

Kolum Bisik-Bisik Awang Selamat Utusan Malaysia semalam membangkitkan persoalan tentang makna peralihan kuasa pergerakan itu jika Shahrizat yang akan mengambil alih kepimpinan pada Jun terpaksa memangku sehingga tamat penggal.

Persoalan juga timbul bagaimana beliau yang berstatus memangku dapat memainkan peranan berkesan sebagai Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional sedangkan ketua wanita parti komponen lain berjawatan ketua.

Selain itu akar umbi juga mahukan peralihan dipercepatkan berdasarkan pencalonan tinggi yang diterima Shahrizat setakat ini.

Sebagaimana laporan Utusan Malaysia di bawah….

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kepimpinan Wanita UMNO digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk mengekalkan pelan peralihan jawatan antara Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dipersetujui pada Jun 2009.

Ia berikutan keputusan mesyuarat Exco pergerakan itu hari ini yang memutuskan pelan peralihan jawatan itu kekal pada tarikh tersebut dan jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO tidak akan dipertandingkan.

Rata-rata peringkat akar umbi pergerakan itu mahu tarikh pemilihan jawatan tertinggi Wanita UMNO diselaraskan dengan tarikh pemilihan parti yang akan diadakan pada Mac tahun depan.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Che Arpah Ariffin berkata, adalah satu kerugian jika Shahrizat hanya memangku jawatan ketua pergerakan itu apabila pelan peralihan jawatan itu dilaksanakan.

“Kita akan kehilangan satu jawatan yang paling penting dalam pergerakan. Biarlah beliau (Shahrizat) pegang jawatan itu betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahrizat semalam, mengeluarkan kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh pelan peralihan jawatan antara kedua-dua mereka dari Jun kepada Mac 2009.

Menurutnya, pertimbangan itu perlu bagi bagi memastikan pemilihan parti berjalan lancar tanpa gangguan akibat ketidakstabilan dalam pergerakan itu.

Che Arpah berkata, pelbagai perkara boleh terjadi sekiranya Wanita UMNO mengambil masa yang lama untuk menentukan siapa sepatutnya menerajui pergerakan.

“Sebagai akar umbi kita menyokong jika tarikh itu dipercepatkan selaras dengan pemilihan parti. Jarak tiga bulan itu tidaklah jauh sangat. Tapi ia tidak bermakna kita tidak kenang Rafidah. Kita akan kenang jasa beliau sampai bila-bila pun,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Wanita UMNO melakukan peralihan jawatan dengan lebih teratur dan apa yang dinyatakan Shahrizat itu adalah bertepatan dengan kehendak akar umbi.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Roslin Abdul Rahman pula berkata, Rafidah diminta berkompromi dengan menyerahkan jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Shahrizat pada pemilihan parti nanti dan bukannya pada Jun 2009.

Katanya, ia bagi mengelakkan terjadi pertandingan yang boleh memecah-belahkan pergerakan itu.

“Adalah sangat baik sekiranya tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua itu. Rafidah perlu memikirkan semula memandangkan tempoh Mac kepada Jun 2009 tidaklah begitu jauh,” katanya.

Roslin berkata, akar umbi pergerakan masih berharap akan ada perubahan yang lebih baik walaupun keputusan Exco pergerakan itu telah dibuat hari ini iaitu tetap akan mengekalkan tarikh peralihan jawatan itu.

“Kita turut menyokong kenyataan Shahrizat untuk meminta Rafidah mempertimbangkan semula tarikh peralihan jawatan itu. Ini adalah untuk kepentingan parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah, Hapsah Hamid yang turut menyokong kenyataan Shahrizat itu berkata, Wanita UMNO sememangnya menghormati Rafidah sebagai seorang pemimpin pergerakan yang berkaliber.

Namun kata beliau, sudah tiba masanya bagi Wanita UMNO mengubah kepimpinan yang baru demi perpaduan dan pengukuhan parti.

“Tidak salah jika tarikh itu dipercepatkan. Kita cuma tak mahu ada pertandingan yang boleh mengugat Wanita UMNO atau parti sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Shahrizat hanya memangku tugas ketua pergerakan, peranannya dalam Wanita UMNO mungkin tidak berkesan seperti apabila beliau memegang sepenuhnya jawatan tertinggi itu.

“Kita ada banyak kerja hendak dibuat. Dengan cabaran terhadap parti yang semakin memuncak kini kita perlu berdiri teguh dan mempunyai pendirian yang kukuh,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s