Kenyataan Nizar Jamaludin membela diri dan partinya di sini

 

NIZAR BUAT KENYATAAN

Assalamualaikum, 

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitanperkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang. ..

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri

secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah Lucut Jawatan Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu letak jawatan atau lucut jawatan saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa lucut jawatan saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.
Ketiga saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO
Saya Nak Saman Sultan,
Saya Arahkan Rakyat Memberontak
dan Saya Menjerit Di Pejabat.

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya menjerit ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak, Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN 

Menteri Besar Perak


Untuk lebih adil mari kita baca pula isu ini di sudut perundangan dari tulisan Siddiq Azani dari UiTM

 

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Saya akan kemukakan fakta berlandaskan undang-undang yang terdapat dalam Perlembagaan negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya tindakan meyaman sultan merupakan tindakan biadap dan tergopoh gapah. Menyedihkan apabila tajuk posting terbaru Anwar Ibrahim berbunyi : Constitutional crisis caused by the Sultan, yang jelas merujuk kepada DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan.
Mengapa Nizar Harus Letak Jawatan
Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN (Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.
Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat. Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak untuk memecat MB.
Hung Parliament
“Hung parliament” bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi “hung parliament” di Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah yang jelas.
3 ADUN Sudah jumpa Sultan
Anwar Ibrahim dan bekas speaker DUN Perak Sivakumar mahu mengadakan sidang khas DUN bagi menjalankan “vote of no confidence” terhadap Nizar. Untuk pengetahuan kedua-dua manusia di atas, perlembagaan tidak pernah menyebut bagaimanakah caranya untuk jelaskan “vote of no confidence” itu. Dalam kes Stephen Kalong Ninkan v Tun Abg Hj Openg & Tawi Sli (1966), sebuah surat ditandatangani oleh majoriti ADUN negeri Sarawak tidak diterima oleh mahkamah kerana ia dikatakan terdapat unsur penipuan dan tidak jelas. Tambahan pula tidak semua ADUN hadir ke persidangan khas terbabit. Ini menunjukkan bahawa surat ditandatangani boleh menjadi sah jika ia tidak terdapat unsur penipuan. Oleh itu, tidak disebut bagaimana cara “vote of no confidence” itu sewajarnya diadakan. Cukupkah dengan berjumpa dengan DYMM Sultan? Atau mengangkat tangan sebagai undian seperti kita lakukan untuk pilih ketua darjah dahulu? Atau dengan surat berserta tandatangan yang sah?
Oleh kerana ia tidak disebut, maka apa jua cara pun boleh diguna selagi ia boleh membawa perhatian DYMM ke atas isu terbabit. Saya difahamkan ketiga-tiga ADUN Bebas tersebut telah pun berjumpa mengadap ke-bawah Duli Tuanku untuk menyatakan pendirian mereka. Jangan dipersoalkan 28 ADUN BN yang lain kerana sudah tentu mereka menyatakan sokongan terhadap BN. Begitu juga 28 lagi ADUN Pakatan. Tumpuan kita seharusnya kepada 3 ADUN ini sahaja.
Perjanjian Yang Tidak Sah.
Saya juga difahamkan bahawa terdapat perjanjian tidak bertarikh ditandatangani oleh wakil-wakil Pakatan setelah menang dalam pilihanraya lalu. Perjanjian tersebut menyatakan mereka akan letak jawatan jika lompat parti. Persoalannya adalah ia tidak logik dan tidak sah dari segi undang-undang.
Artikel 10(1) (c) menyatakan hak warganegara untuk menyertai mana-mana persatuan, selagi ia berdaftar dan sah. Namun artikel 10(2)(c) menyatakan “parliament may by law impose on the right conferred by paragraph (c) of clause (1), such restriction as it deems necessary or expedient in the interest of the security of the Federation or any part thereof, public order or morality.”
Persoalannya disini adakah BN merupakan pertubuhan yang tidak bermoral dan mengancam keselamatan negara? Tidak bermoral kerana lompat parti? Dulu Nizar kata ia tidak salah dari segi undang-undang bukan?
Kesemua hujah diatas dibuat selepas saya merujuk kembali perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak. Tindakan Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan amatlah dialu-alukan demi membuktikan hujah saya diatas. Karpal tahu undang-undang ini, cuma oleh kerana beliau bertindak berkapasitikan posisi beliau sebagai pemimpin pembangkang, sudah tentu beliau tidak mahu mengalah. Datuk Ambiga Sreenevasan, President Bar Council dalam keterangannya kepada NSTP juga mengatakan Sultan mempunyai kuasa untuk memecat Nizar. Pakar perlembagaan dan pensyarah Fakulti Undang-undang UiTM, Prof Dr.Shad Saleem Faruqi dalam kenyataannya kepada Bernama juga bersetuju bahawa Sultan mempunyai kuasa esklusif terbabit.
Lebih menarik lagi, orang yang membuat keputusan ini ialah DYMM Sultan Azlan Shah sendiri yang juga merupakan mantan Ketua Hakim Negara. Sudah tentulah beliau telah mengkaji terlebih dahulu akan kesahihannya. Siapa Karpal Singh?
Detik Terkena Batang Hidung Sendiri.
Suatu ketika dahulu Anwar kerap kali menyatakan bahawa beliau mahu merampas kuasa dengan beberapa ahli parlimen BN yang akan melompat ke Pakatan. Kini situasi telah berubah. Anwar telan ludah sendiri. Kepada penyokong Pakatan yang tidak berpuas hati, terimalah hakikat bahawa ini merupakan proses demokrasi yang kamu semua pernah perjuangkan dahulu sebelum 16 September 2008.
Saya juga berharap kenyataan saya kali ini dapat menenangkan perasaan penyokong Pakatan yang marah dan kecewa. Terima lah hakikat bahawa kita masih bersultankan Melayu, bukan bertuankan Anwar Ibrahim. Kita masih berbudayakan Melayu dan Malaysia, bukan kurang ajar dan derhaka, dan ini semua berlaku diatas “kebenaran” undang-undang itu sendiri, dan bukan dengan sesuka hati DYMM Sultan Azlan Shah. Daulat Tuanku!
Siddiq Azani,Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia.

2 thoughts on “Kenyataan Nizar Jamaludin membela diri dan partinya di sini

  1. CokMan says:

    Siddiq Azani bolehlah ganti TNC UiTM yang baru selepas ni….. bodek kuat….

  2. Datu Hj.Abdul Kadir says:

    jalan penyelesaian kemelut politik negeri perak hanya dengan pembubaran DUN. Berikan peluang kpd rakyat perak memilih parti mana yg akan diberikan mandat menerajui pemerintahan kerajaan selaras dgn sistem demokrasi berperlembagaan dan beraja.Wassalam!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s