Ustaz Zamihan Al Ghari vs Ustaz Asri Al Wahhabi isu Hadis Palsu


Sikap suka memperkatakan sesuatu tanpa fakta ilmiah semakin menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi terhadap fakta yang melibatkan sumber perundangan Islam dan kreadibiliti alim ulamak itu sendiri. Amat malang sekali, apabila Mufti baru kita kerap kali mengecam para alim ulamaktradisional. Atas alasan kononnya ulamak tradisional bersifat konservatif, menyampaikan ilmu agama tidak berfakta, menokok nambah cerita, membawa riwayat Israeliyyat dan hadis palsu.

Bahkan dalam masa yang sama, Mufti Baru itu dengan angkuh mendakwa bahawa beliau seorang yang berfakta, menekankan aspek kesarjanaan dan membawa tajdid (pembaharuan) dalam memahami agama. Sebenarnya, inilah sebahagian daripada manifestasi sikap yang melampau dalam agama.Sikapnya yang suka mengecam orang lain dan dalam masa yang sama mengangkat diri sendiri sebagai jaguh sarjana amat dikesali. Manakala prinsip tajdid yang dibawanya pula lebih banyak mendatangkan kerosakan dari kebaikan. Jika dianalisa, Tajdid ala Wahhabi yang diperkenalkannya banyak mendatangkan kerancuan di minda masyarakat kita

(* Penjelasan: Ini jelas berlaku di Malaysia, di Indonesia pula jauh lebih parah. Jemaah-jemaah Islam sedia ada termundur ke belakang apabila sebahagian ahli-ahlinya bertelagah sesama sendiri hasil dakwah Salafi Wahabi yang dibawa oleh orang-orang seperti Dr. Asri. Jemaah-jemaah yang dulunya bersatu hati kini terpecah-belah hati-hati mereka. Musuh-musuh Islam tersenyum lebar … Di Indonesia terdapat 6 atau 7 jemaah salafi, 4 atau 5 daripadanya adalah Salafi Wahabi. Yang peliknya jemaah-jemaah salafi Wahabi ini saling sesat-menyesat antara satu sama lain. Mereka mendakwa Salafi cara merekalah satu-satunya golongan yang terselamat daripada 73 golongan umat Islam akhir zaman, tapi Allah menunjukkan bukti jelas apabila mereka yang kononnya satu-satunya jemaah yang tidak sesat itu saling sesat-menyesat pula sesama sendiri. Senyuman musuh-musuh Islam bertambah lebar…)

Sebagai contoh, Mufti termuda kita (Mufti Perlis) baru-baru ini membuat kenyataan di dalam Berita Harian pada 5hb Januari 2007 bahawa ramai di kalangan ustaz-ustaz kita yang mengajar di masjid dan surau membacakan hadis palsu. Beliau mendakwa bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China ” merupakan hadis palsu. Mufti itu mengajak kita supaya merujuk kepada beberapa kitab yang diisyaratkannya. Tetapi beliau sendiri tidak meluahkan isi sebenar kandungan kitab-kitab yang menjadi rujukannya itu. Ini satu metodologi penyembunyian fakta secara terhormat. Dan bukan dari prinsip kesarjanaan dalam Islam.

Marilah kita sama-sama membuka minda untuk menilai status hadis : “Tuntutlah Ilmu walau sehingga ke negeri China ” dengan sejelas-jelasnya. Apakah dakwaan Mufti termuda itu boleh dianggap sebagai satu fakta yang benar?

Sebenarnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ di dalam Musnadnya pada Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya hadis bernombor 18. (lihat al-Rabi’ bin Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Bayrut, 1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuab al-Iman, hadis bernombor 1663. (lihat Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul, juz 2 m/s 253). Hadis ini juga disebut di dalam Musnad al-Bazzar bernombor 95. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan sebagai palsu. Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya. (Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an : Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s 75)

Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani di dalam Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236. (lihat al-Hamazani, Firdaus bi Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, tahkik: Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 7

Soalnya, apakah para ulamak yang meriwayatkan hadis ini dan mengabadikan di dalam kitab karangan mereka boleh kita kategorikan sebagai pemalsu hadis. Masya Allah, jikalau Tuan Mufti tetap berpendapat sedemikian ternyata Tuan Mufti tidak menguasai seni ilmu hadis. Maksudnya ialah keupayaan dalam memahami kedudukan hadis, kecacatan hadis dan feqh al-Hadis itu sendiri. Justeru, apakah nilai disebalik MA dan PHD hadis yang tuan miliki.

Sekarang marilah kita sama-sama menelusuri perbincangan tentang status hadis ini. Imam Abd Rauf al-Munawi di dalam Fayd al-Qadhir Syarh Jami’ al-Saghir ketika membuat ulasan terhadap hadis ini mengatakan : “Al-Baihaqi mengatakan matannya (hadis ini) masyhur akan tetapi isnadnya dha’if. Dandiriwayatkan daripada (beberapa) sanad yang lain yang sempurna kedudukannya. Manakala Ibn Abd al-Barr di dalam kitabnya Fadhl al-Ilmi (Kelebihan Menuntut Ilmu) meriwayatkan hadis ini daripada Jaafar bin Muhammad al-Zaghuni daripada Ahmad bin Abi Suraij al-Razi daripada Hamad bin Khalid al-Khayyath daripada Tharif bin Salman bin ‘Atikah daripada Anas ‘Ad daripada Muhammad bin Hasan bin Qutaibah daripada Abbas bin Abi Ismail daripada Hassan bin ‘Athiyyah al-Kufi daripada Abi ‘Atikah daripada Anas.

Bagi saya, apa yang dijelaskan oleh Imam al-Munawi ini hampir sama nadanya dengan kenyataan Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan (Ibn Hajar al-Asqalan, Lisan al-Mizan, Muassasah al-A’lami: Bayrut, Cet ke-3, 1986M, juz 6 m/s 304)

Al-Munawi meneruskan ulasannya : “Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya berdasarkan hujjah bahawa al-Hassan (perawi hadis ini) merupakan perawi yang dhaif. Manakala Abi ‘Atikah (merupakan seorang) perawi yang munkar. Dan di dalam kitab al-Mizan dijelaskan bahawa riwayat Abu ‘Atikah daripada Anas diperselisihkan tentang namanya dan periwayatannya adalah dhaif sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi.

Imam al-Sakhawi pula dan lain-lain ulamak mengatakan : “Hadis ini dhaif (*bukan palsu seperti dakwaan Dr. Asri) berdasarkan kepada dua faktor. Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya. Manakala Ibn al-Jauzi menarafkan ia sebagai hadis yang direka. Dan kami memilih atau menurutipendapat al-Mizzi (Imam al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi yang mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan dengan beberapa riwayat dan apabila dicantumkan dengan sebahagian riwayat yang lain kemungkinan ia mencapai standard hadis hasan. Dan al-Dhahabimengatakan di dalam Talkhis al-Wahiyat bahawa hadis ini diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian bertaraf waahiyat (amat lemah) dan sebahagiannya sholeh… (baik).” (Abd Rauf al-Munawi, Fayd al-Qadir Syarh Jami’ al-Soghir, Maktabah al-Tijariah al-Kubra : Mesir, Cetakan Pertama, 1306H m/s 543 juz 1)

Tidak cukup dengan keterangan di atas, marilah kita sama-sama meneliti pula apa yang dikemukakan olehImam al-Ajlouni di dalam kitabnya Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas Ketika membahaskan hadis “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” beliau mengatakan : “Hadis riwayat Abi ‘Atikah (pada awal lafaznya) Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China dan keduanya (lafaz akhir)” terdapat beberapa komentar. Ibn Abd al-Barr juga meriwayatkan daripada Anas dengan riwayat yang banyak. Tetapi keseluruhannya mempunyai kecacatan dan tiada hujjah padanya dari sudut isnad menurut pakar hadis.”

Katanya lagi : “Menurut al-Bazzar hadis ini diriwayatkan daripada Anas dengan sanad-sanad yang amat lemah. Dan yang paling hasannya ialah apa yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Salam secara marfuk daripada Anas. Dan tidak diketahui orang yang meriwayatkan daripada Ibrahim bin Salam kecuali Abu ‘Asim. Manakala pada perbincangan hadis bab (Bab Ilmu) telah dikemukakan riwayat-riwayat daripada Ubai, Jabir, Huzaifah, al-Hussein bin ‘Ali, Ibn Abbas, IbnUmar, Ali, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, ‘Aisyah, Um Hani’ dan lain-lain. Ringkasnya (menurut kami) ialah berdasarkan apa yang ditakhrijkan oleh al-Iraqi terhadap kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali…”

Selanjutnya al-Ajlouni mengulangi pendirian al-Baihaqi terhadap hadis ini. Di samping itu, beliau mengemukakan pendapat Imam Ahmad terhadap hadis ini berdasarkan apa yang dinukilkan daripadanya Ibn al-jauzi di dalam Ilal al-Mutanahiyah dengan katanya : “Hadis ini tidak tsabit sesuatupun berkaitan dengan hadis bab menurut pandangan kami.”

Katanya : “Dan demikian juga pandangan Ishaq Ibn Rahawiyah dan Abu Ali al-Nesyaburi. Manakala Ibn al-Solah mengisyaratkannya sebagai hadis masyhur yang tidak bertaraf sahih. Dan pendapat ini diikuti oleh Imam al-Hakim. Akan tetapi al-Iraqi mengatakan sesetengah ulamak hadis mentashihkannya dengan beberapa isyarat sebagaimana yang dijelaskan beliau dalam ulasan beliau terhadap Ihya’ Ulumuddin.

Katanya lagi : “Imam al-Mizzi pula mengatakan : “Isyarat hadis ini mencapai status hasan sebagaimana yang didapati di dalam Maqasid al-Hasanah. Manakala Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Lali’ selepas meriwayatkan pelbagai riwayat dari Ali, Ibn Mas’ud, Anas Ibn Umar, Ibn Abbas, Jabir dan Abi Said mengatakan bahawa pada hadis ini terdapat beberapa pandangan.” (Syeikh Ismail b Muhammad al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas, Cet ke-4 Muassasah al-Risalah, Bayrut, 1405H, tahkik Ahmad al-Qallasy m/s 56-57 juz 2)
Kesimpulannya, berdasarkan keterangan di atas jelaslah kepada kita bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China ” diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian dari riwayat tersebut berstatus dhaif. Akan tetapi apabila dihimpunkan dengan beberapa riwayat yang dhaif dan didatangkan dengan beberapa syahid (kesaksian) yang lain riwayat dhaif tersebut akan mencapai status hasan.

Manakala beberapa riwayat yang bertaraf amat lemah dan berstatus munkar atau palsu ditolak oleh para ulamak sebagai hujjah dalam kelasnya. Hal ini diputuskan berdasarkan kepada kedudukan kedudukan perawi dalam sanad-sanad yang tersendiri sebagaimana yang diperjelaskan di atas. Dan ketentuan ini amat mudah difahami bagi mereka yang mendalami ilmu hadis. Sayangnya Mufti Baru kita menggunakan metodologi bersifat hukmi semata tanpa tafsili. Iaitu dengan menghukum hadis ini palsu secara total. Apakah ini satu estetika ilmiah yang boleh dikongsi bersama?.

Di samping keterangan menerusi kitab-kitab di atas, banyak lagi keterangan yang boleh dinukilkan di sini melalui beberapa kitab. Antaranya melalui kitab al-Kamil fi Dhua’fa al-Rijal, al-Majruhin,Ttarikh al-Baghdad, al-Tadwin fi Akhbar Qazwin, Kasyf al-Dzunun, Abjad al-Ulum dan lain-lain. Namun penulis menyingkatkan perbincangan untuk memberi focus perbincangan kita. Tetapi penulis tidak teragak-agak untuk menghuraikannya secara lebih lanjut jika keadaan memerlukan.

Selain keperihalan sanad, marilah kita menganalisa sedikit tentang kedudukan matannya. Matan hadis ini adalah jelas berstatus masyhur sebagaimana penjelasan Imam al-Baihaqi. Tidak cukup dengan itu, para ulamak tidak lupa untuk menghuraikan matan hadis ini. Buktinya, Imam Al-Ajouni ketika menukilkan huraian al-Baihaqi dengan katanya : “Hadis ini (menuntut kita) untuk mempelajari ilmu yang bersifat umum yang mana seseorang tidak patut jahil mengenainya. Ataupun ia bermaksud satu tuntutan menimba ilmu-ilmu yang bersifat khusus. Atau yang dimaksudkan dengan tuntutan “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” sehingga seseorang itu mampu melaksanakan tuntutan yang memenuhi keatas dirinya…”

Selain huraian Ibn Abd al-Barr, al-Baihaqi, al-Ajlouni, al-Munawi,al- Sakhawi, hadis ini juga turut dihurai oleh Imam Abdullah ‘Alawi al-Haddad di dalam Nasha ih’ al-Diniyyah wa Wasoya al-Imaniyyah. Dan intisari kitab ini pula diajarkan oleh Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita. Apakah aktiviti seperti ini dikira sebagai penyampai hadis palsu. Maka buatlah pemerhatian yang sebaik-baiknya sebelum melontarkan tuduhan terhadap sesuatu perkara.
Secara realitinya pula, matan hadis ini tepat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah sampai ke negeri China , namun wawasan pemikiran Baginda SAW terlebih dulu sampai ke sana . Bukankah China dulu dan kini terkenal dengan industri pembuatan tembikar/kaca, kertas, kain sutera, jarum, barangan mainan, produk pertanian dan barangan tiruan.

Malah dunia mana pada hari ini tidak diduduki orang cina. Dan terbukti pada hari ini bahawa orang cina yang menguasai ekonomi sehingga ekonomi Amerika pun turut tergugat dengan peranan yang dimainkan China . Mereka yang menjadi gergasi Ekonomi di alaf baru. Justeru, apa salahnya kita mempelajari sikap yang baik, disiplin, kemahiran dan teknologi mereka. Tuan Mufti sendiri ada menyentuh hakikat ini pada tulisan di akhbar Berita Harian pada 4hb. Namun pada tulisan 5hb Januari 2007 beliau sendiri menulis di bawah sedar.

Kesimpulannya, semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa para ulamak tidak seia sekata dalam menentukan hadis ini. Apa yang jelas ialah status hadis ini ditentukan berdasarkan kepada susur galur periwayatan sanad-sanadnya yang banyak.Hasilnya, ada riwayat yang berstatus dhaif dan palsu.Walaupun dhaif jika dihimpunkan dengan beberapa periwayatan dan kesaksian yang lain ia akan mencapai taraf hasan. Apabila ia bertaraf dhaif ataupun hasan ternyata ia boleh diamalkan menerusi disiplin ilmu hadis.

Buktinya, Al-Imam al-Nawawi –secara masyhur- di dalam al-Arba’in mengatakan bahawa para fuqaha’ dan muhaddithin telah bersepakat untuk menerima pakai hadis dhaif dalam bab Fadha’il a’mal (kelebihan untuk beramal) dan Bab Etika serta tidak ianya tidak berstatus palsu. Justeru, jika Tuan Mufti mendakwa ianya palsu mengapa Tuan Mufti tidak memperincikan sanad-sanadnya yang palsu itu sebagaimana menurut disiplin ilmu hadis.
Sayangnya, Mufti Baru kita seakan sengaja menyembunyikan fakta ini. Dimana nilai kesarjanaan yang dilaung-laungkannya . Amat malang , kerana berasaskan kepada fakta yang disembunyikan ini, beliau membuat kecaman terbuka terhadap Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita bahawa kebanyakkan mereka menyampaikan ilmu agama dengan hadis palsu.

Senario ini sedikit sebanyak mendatangkan fitnah kepada mereka. Masya Allah. Jika ada benarnya dakwaan Mufti baru ini, saya meminta Tuan Mufti kemukakan butiran individu tersebut, lokasi pengajaran mereka, sanad dan matan yang dibawa mereka untuk dimuzakarahkan (* Jangan menuduh macam orang yang tiada kesarjanaan). Hal ini penting supaya Tuan Mufti tidak menuduh secara sembarangan. Dan maruah Tuan Mufti tidak tercemar di mata masyarakat. Walaupun asas untuk mendakwa bahawa hadis ini sebagai hadis yang palsu ada. Tetapi asas al-Bazzar, Ibn Hibban dan Ibn al-Jauzi itu berteraskan kepada perawi yang dikritik mereka.Manakala perawi yang dikritik pula dipandang sebagai dhaif oleh majority ulamak yang lain. Akhirnya menimbulkan kekhilafan dalam penarafan hadis.Justeru, perselisihan ini tidak wajar dijadikan asas untuk dimuktamadkan sebagai hadis palsu. Apatah lagi ia hendak digunakan sebagai hujjah untuk menuduh pihak yang tidak sependapat dengan kita.
Nampaknya, mutiara-mutiara ilmiah dan hikmah kita semakin hilang apabila institusi agama diterajui oleh mereka yang jahil dalam disiplin ilmu ini. Lantaran itu, tidak bhairanlah jikalau ada suara-suara sumbang yang mengkritik ulamak dan pendakwah secara menghina bukannya bersifat membina. Dan tidak syak bahawainilah seni penyelewengan yang terhormat dalam agama. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada kita semua terhadap apa yang disukai lagi diredhaiNya.

Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari, ialah Ahli Lembaga Penasihat Darul Hadis – PAKSI

sumber dicedok dengan amanahnya dari blog http://abuzulfiqar.tripod.com/id84.html dengan ubah pada luaran sahaja.

10 thoughts on “Ustaz Zamihan Al Ghari vs Ustaz Asri Al Wahhabi isu Hadis Palsu

  1. Ibnu Muhammad says:

    Saya berminat untuk memberi komen berkaitan penjelasan mengenai status hadith “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China “. Saya dapati terdapat pandangan yang berbeza di dalam memberi penerangan mengenai isu hadith ini. Memandangkan rata-rata yang membaca artikel ini adalah orang seperti saya yakni orang umum, saya syorkan juga kita semua meneliti penerangan mengenai kedudukan hadith ini dari jaluran yang lain agar dapat menambah kefahaman mengenai isu yang dibincangkan. Wassalam.

    Kedudukan Hadith Tuntutlah Ilmu Walau ke Negeri China

  2. osman my says:

    fahaman dan pendokong wahabi memang ramai di negara ini , paling ramai adalah dalam parti PAS , mereka berselindung disebalik nama parti dan kopiah , kakitangan kerajaan pun ramai , orang islam yang baru mengenal islam pun ramai ,

    para penceramah PAS , kebanyakan memetik hadis daif semasa berceramah , tuan guru dan mufti tak tegur pun malah dibiarkan ja , kata mendidik rakyat ? didik apanya kalau yang mengajar pun sesat ..?
    banteras dan hapuskan fahaman ini sebelum ianya semakin membarah , lihat saja negara lain apa jadinya ? gara2 fahaman wahabi sanggup berbunuhan sesama islam , islam semakin hancur ..

  3. apro says:

    sikit-sikit wahabi, sikit-sikit wahabi.

  4. Norman says:

    A.w.w. Tidak salah yg salah tu diperbetulkan dan silap itu diperbaiki. Malah, bagi yg lebih mengetahui memang berkewajipan menyampaikan yang benar walaupun pahit untuk menegakkan yang makruf dan menegah yang mungkar. Bersama2lah kita mendokong usaha memurnikan semula Islam semurni zaman Rasulullah dan para sahabat. Hentikanlah usaha menyelewengkan agama dalam apa bentuk dan cara sekalipun. Wassallam.

  5. anbyak says:

    Asmkm, boleh tuan berikan pernyataan Syaikh Arnauth (dari sunnah wal jamaah) dan Albani (dari salafi sunnah wal jamaah) berkenaan hadits belajar ilmu hingga ke China.
    Saya komen di sini perkataan tuan bahawa imam nawawi menerima hadits dhaif dlm beberapa hal, Malah tuan, imam Ahmad pernah juga menyatakan demikian, tetapi istilah hadits yg popular pd zaman mereka hanyalah Shahih dan Dhaif. Istilah Hasan belum diguna atau belum popular pada zaman mereka, jadi dipersetujui oleh para ulama yg menentang penggunaan hadits dhaif bahawa dhaif yg mereka katakan itu bermaksud hadits hasan. Tirmidzi dipercayai yg mula2 menggunakan istilah hasan. Jika hadits dikategori dari shahih, hasan, dhaif, dhaifun jiddan hingga maudhu’ dari segi kesahan yg umum, maka apakah gunanya pengkategorian dan usaha muhadditsin dalam mengenal dan praktikkan ilmu2 tersebut jika hadits dhaif diterima mendekati (dilayan) hasan atau shahih? Dalam Al Quran … Allah swt telah berfirman: Jauhilah dari persangkaan … jadi tuan tidakkah lebih afdhal atau selamat untuk menjauhinya? Berkenaan ibn ‘abdil barr dan baihaqi.. mereka memang ahli hadits yg paling terkemuka di antara nama2 ahli hadits yg tuan sebutkan, yg lainnya tapi tetap lebih rendah , malah yg lebih rendah daripada kebanyakkan Muhadditsin (seperti Bukhari,Muslim, Abi Dawood,Tirmidzi, An Nasa-i, Ibnu Majah, Imam Ahmad Hanbal, Ibnu Khuzaimah, Imam Malik, at thabarani, ad darimi)kecuali ibn hajar,addzahabi dan ibnu solah. Jadi point tuan bahawa “hadits belajar hingga China” mendekati hasan atau hasan adalah tidak kukuh. Perlu tuan ketahui bahawa ada 4 org sahaja muhadditsin terkemuka yg menolak bacaan basmalah yg ringan atau tidak dibunyikan (secara sirr). Mereka adalah Adzzhabi, Ibn Abdil Barr, (ke3 saya tidak ingat samada Al Bazzar atau Baihaqi) dan Syafie …dari segi ilmu hadits, keilmuaan mereka adalah lebih rendah dari nama2 yg saya sebutkan di atas, walaupun Imam Ahmad penah menyatakan bahawa kerana gurunya iaitu Syafie lah maka beliau (Ahmad Hanbal) dapat memahami hadits. Ini terbukti dari banyaknya kutipan oleh ulama2 apabila mengeluarkan hadits sebagai dalil dari hadits musnad Ahmad berbanding musnad syafie yg tidak pun mendekati kitab hadits top 20 sekalipun. Mereka tidak menyatakan bahawa hadits basmalah itu tidak shahih…cuma mereka mengatakan hadits tersebut ada ilat (cacat)…hingga ibnu abdil barr menyatakan 9 ilat darinya. Tetapi sebahagian besar bahawa adanya ilat telah dipatahkan oleh al hafiz Ibnu hajar al asqalani dalam Fathul Baari syarah Shahih Bukhari. Perkataan tuan bahawa Ibnu Hibban bahawa hadits belajar ke China adalah hadits Bathil, tahukah tuan bahawa banyak dari ahli hadits terkemuka melabel Ibnu Hibban terlalu “longgar” dalam mensahihkan sesuatu hadits (wp beliau menukilkan kitab Shahih Ibnu Hibban). Jadi jika Ibnu Hibban menyatakan ia hadits Bathil maka … sudah tentu hati saya lebih setuju bahawa ia bathil atau maudhu’ kerana kebiasaanya Ibnu Hibban agak longgar dalam pentahsihan. Perkataan tuan bahawa Ibnu solah mengisyaratkan bahawa hadits belajar ke China itu mahsyur tapi tidak shahih… bukan pernyataan yg menyokong pendapat tuan kerana kesalahan pertama tuan ialah perkataan “mahsyur” … bermaksud popular atau tersebar luas secara umum atau tertentu kepada sesetengah group (misalnya ahli fiqh sahaja) atau negeri tertentu. Perkataan “mahsyur” oleh tuan itu boleh mengelirukan orang awam yg tidak belajar ilmu hadits … diharap tuan berhati2 dari mengelirukan org ramai … maaf mungkin tuan tidak sedar , dan perkataan tuan bahawa,al-Iraqi mengatakan sesetengah ulamak hadis mentashihkannya dengan beberapa isyarat, tuan tidak cuba menjelaskan syarat2 ini … kemungkinan mereka bermaksud seperti “jika tuduhan kepada periwayat tidak benar” @ “jika si anu si anu dikenali” @ “jika isnad hadits tidak terputus” dan banyak lagi kemungkinan. Jadi maudhu’ itu lebih dekat dari dhaif bagi hadits ini. Saya, tuan baru setahun lebih belajar hadits … jika tuan ingin kebenaran, mengapa tidak tuan bertanya kpd dr asri atau berdiskusi dengannya kerana ini memang bidangnya walaupun tidak semestinya dia sentiasa benar?

  6. ACHMAD ABDOLLAH says:

    hadith daif atau lemah atau bathil sesetengah pendapat boleh digunakan untuk tujuan memberikan semangat dalam melaksanakan sesuatu tetapi tidak boleh digunakan untuk berhujah.. Walaubagaimanapun pandangan saya cuba dielakkan mengamalkan hadith daif/lemah/bathil kerana dibimbangi akan mewujukan kepercayaan lain dari hadith berkenaan. Sebagai contohnya dalam isu menuntut ilmu sehingga ke negara china.. jika dihebahkan dikalangan generasi mudah akan timbul perasangka dan juga andaian yang pelbagai terhadap Rasullah iaitu Rasullah pernah ke China menuntut ilmu dan sebagainya. Ianya akan mewujudkan satu kisah dan peristiwa baru yang tidak berkaitan dengan Rasullah SAW. Ini dibimbangi akan wujud..

    Saya memahami mengapa sesetengah ulama muda (digelar salaf) ingin para masyarakat merujuk kepada hadith sahih/kuat agar tiada malapetaka lain timbul dari penggunaan atau rujukan hadith daif/lemah/bathil.

    Wallahuallam.

  7. orexero says:

    so makne nye bukan la hadis sahih yang dipertikai kesahihsan nye kat sini? untuk orang yang tak belajar pasal hadis macam aku kalau dah hadis ni lemah jgan la nak dicantik kan dengan kate2.. ngaku jele hadis ni tak kuat n bagi tau sebab2 kelemahan die.. kan sonang untuk budak2 baru belajar kat sekolah tu..

  8. Zulfikri says:

    Komen yang menarik dari anbyak, malangnya komen ini rasanya tidak sampai ke Zamihan. Kena komen dalam blognya, baru ada response.

  9. shahril says:

    Tetapi sikap seperti terus menuduh ulamak2 lama dan terdahulu tidaklah begitu cantik kerana dalam memberi teguran dan pendapat masing2 dalam bidang ilmu masing2 hendaklah ada peradaban dan hemah. Bukankah ilmu itu menuntut peradaban dan hemah dlm semua perkara? Tetapi didalam pemerhatian saya, ramai dari kalangan ustaz muda yg sependirian dgn fahaman muda ini terlampau cepat menghukum dan menolak pendapat2 ulamak lain dgn cara yg tidak berilmiah dan tidak berhemah.. Wallahualam.

Leave a reply to shahril Cancel reply