PAS diselar gesa ahli tangguh haji – ahmad maslan

Tindakan PAS minta ahli tangguh haji diselar

2012/06/12

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS meminta ahlinya yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya umum ke-13 supaya menangguhkan ibadah haji, dianggap tidak wajar kerana meletakkan kepentingan parti melebihi kehendak agama.

Berikutan itu, PAS diminta memohon maaf di atas keterlanjuran mengeluarkan arahan sedemikian.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, berkata beliau kesal dengan kenyataan PAS kerana sebagai parti Islam, ia meletakkan pilihan raya lebih penting daripada ibadah haji yang juga Rukun Islam kelima.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya, tapi dia sudah buat spekulasi sebegitu. Kita tidak boleh letak parti lebih daripada agama.

“Jangan anggap parti ini agama. Itu perkara yang tidak betul. Tanyalah ulama mana sekali pun,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyebut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, meminta ahlinya menangguhkan ibadah haji kerana parti itu menjangka pilihan raya umum diadakan pada musim haji antara September dan Oktober.

Tuan Ibrahim, yang membuat kenyataan itu menerusi portal rasmi kerajaan Selangor, berkata penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana PAS memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa pilihan raya umum.
Ahmad berkata, Tuan Ibrahim sepatutnya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu yang menunjukkan PAS menjunjung pilihan raya melebihi agama.

Sementara itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua UMNO Lembah Pantai, berkata bagi umat Islam, ibadah haji adalah jauh lebih penting daripada politik dan kenyataan itu tidak harus dibuat.

“Hampir 900,000 yang mendaftar (dengan Lembaga Tabung Haji). Ikut senarai menunggu, hampir 20 hingga 30 tahun baru boleh pergi (menunaikan haji).

“Kalau dapat peluang pergi kali ini, tapi tidak pergi, tidak tahu bila lagi boleh pergi…itu pun bergantung kepada faktor umur dan keadaan kesihatan…sebaik-baiknya janganlah dihalang pergi (menunaikan haji),” katanya.

Turut mengecam kenyataan PAS itu ialah Mursyidul Am Kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Zahid Md Arip, yang mencabar Tuan Ibrahim supaya menunjukkan bukti dalil, hadis atau ayat al-Quran bagi menyokong kenyataannya itu.

“Saya selar sikap beliau yang mempersendakan rukun Islam. Ini jelas menunjukkan PAS sangat terdesak (untuk menghadapi pilihan raya),” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s