PM pegang dua jawatan tidak bercanggah manifesto PH – Anwar Ibrahim | Astro Awani

PM pegang dua jawatan tidak bercanggah manifesto PH – Anwar Ibrahim

PM pegang dua jawatan tidak bercanggah manifesto PH - Anwar Ibrahim

Anwar berkata jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bukan portfolio kerana jawatan itu secara amnya menguruskan negara. – Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang memegang portfolio menteri bukanlah satu percanggahan terhadap manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir ia tidak bertentangan (dengan manifesto). Pada pemahaman saya, Perdana Menteri bukan satu portfolio,” katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

“Perdana Menteri secara amnya menguruskan negara, begitu juga dengan Timbalan Perdana Menteri. Ini bukan portfolio,” kata Anwar kepada akhbar The Star.

Sebahagian daripada Janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama Menteri Kewangan.

Sementara itu, diminta mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, isu ini akan dibincangkan bersama pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat.

“Saya akan membawa perkara ini ke peringkat tertinggi kepemimpinan PH. Seingat saya, manifesto yang kami setuju bersama sebelum ini membabitkan Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan.

“Saya akan semak semula manifesto PH. Kepemimpinan PH akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini,” beliau dipetik berkata.

BACA: Hanya satu jawatan untuk Perdana Menteri, jika PH berjaya tubuh kerajaan

Pada April, Majlis Pakatan Harapan menerusi satu kenyataan bersama berkata Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama jawatan Menteri Kewangan sekiranya PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-pegang-dua-jawatan-tidak-bercanggah-manifesto-ph-anwar-ibrahim-175793

Advertisements

BERNAMA – Lawatan Tiga Hari Obama “Luar Biasa” – Tun Mahathir

FW324180_KL02_300414_UN-scr.JPG
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang berakhir Isnin, sebagai satu lawatan yang “luar biasa”.

Katanya, tindakan Obama meluangkan masa melawat Masjid Negara dan Makam Pahlawan dalam lawatannya telah menggambarkan Obama begitu diplomatik dan pandai mengambil hati.

“Dia (Obama) sangat diplomatik dan pandai ambil hati orang. Sebab itu dia menang (sebagai Presiden AS),” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘A UN Chronicle’ tulisan diplomat terkemuka Tan Sri Razali Ismail bersama Sharifah Shifa al-Attas di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di sini Rabu.

Dr Mahathir menambah, selepas Presiden Lyndon B.Johnson melawat Malaysia hampir 50 tahun lalu tidak ada presiden AS yang melawat negara ini.

“Tetapi Obama pilih untuk buat lawatan. Lawatan ini dapat dedahkan kepada Obama tentang Malaysia. Mungkin Obama pun selama ini hanya banyak dengar tentang Malaysia namun tidak tahu apa-apa,” katanya.

Obama, Presiden ke-44 AS mempunyai jadual kerja yang padat ketika berada di negara ini. Pada hari pertama tiba Obama diberikan sambutan rasmi permaidani merah di Dataran Parlimen.

Pemimpin kuasa besar dunia itu dirai dalam jamuan negara bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Pada hari kedua lawatan, Obama bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya.

Selain itu Obama turut menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara yang berlangsung di Universiti Malaya.

Aturcara hari terakhir lawatan Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai US$2 bilion (RM6.53 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Mengenai buku A UN Chronicle yang dilancarkan itu, ia mengandungi catatan pengalaman Razali yang pernah menjadi pengerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 1996 hingga 1997.

Razali dalam ucapannya berkata beliau berharap buku berkenaan akan menjadi rujukan berguna kepada diplomat Malaysia pada masa ini, bakal diplomat, golongan akademik dalam jurusan kajian antarabangsa dan pelajar.

Antara pengalaman yang dicatatkan dalam buku itu ialah bagaimana beliau berkhidmat di PBB ketika era kepimpinan Dr Mahathir yang sangat proaktif memperjuangkan nasib negara-negara sedang membangun, jelasnya.